Definisi ilmu
Dalam bahasa Melayu, ilmu bererti; pertama: pengetahuan, kepandaian dalam perkara dunia, akhirat, zahir, batin dan lain-lain, atau pengetahuan berkenaan segala sesuatu selepas manusia itu mati. Kedua, ilmu bererti kajian berkenaan sesuatu perkara[3].Dalam bahasa Inggeris, ilmu dikenali dengan istilah knowledge. Walau bagaimanapun, istilah knowledge tidak membawa makna yang sama dengan ilmu dalam tradisi Islam. Sebab, ilmu adalah salah satu konsep yang mendominasi Islam itu sendiri[4].Istilah ilmu berasal daripada perkataan ‘ilm dalam bahasa Arab. ‘Ilm bererti lawan jahil[5]. Oleh itu, ilmu bukan sekadar bererti pengetahuan. Sebab, jahil bukan sekadar bererti tiada pengetahuan[6]. Istilah “zaman jahiliah” atau “hukum jahiliah”[7] boleh dirujuk dalam hal ini.Sebagai sebuah istilah khusus dengan konsep tersendiri, ilmu mempunyai lebih 1,200 definisi[8]. Hal ini disebabkan ilmu dan definisinya amat penting dalam akidah Islam. Tidak ada buku tentang ilmu kalam yang tidak membincangkan definisi ilmu, walaupun sedikit[9].
Selain itu, jumlah definisi yang banyak, juga disebabkan kesukaran mendefinisikan ilmu. Walaupun begitu, merujuk kepada sifat-sifat dan ciri-cirinya[10], ilmu boleh didefinisikan.Maka, ilmu ialah ketibaan makna tentang sesuatu dalam diri[11]. Ilmu juga didefinisikan sebagai iktikad kukuh yang tepat dengan hakikat[12].Kedua-dua definisi di atas, menolak maklumat, informasi[13], data atau fakta sebagai ilmu. Sebab, ilmu ialah maklumat, informasi, data, fakta atau apa-apa sahaja yang benar, yang bermakna dan memberi makna, berbentuk kepercayaan dan keyakinan[14], secara kukuh kepada diri seseorang.Oleh itu, ilmu bukanlah sesuatu yang neutral[15]. Ia adalah sesuatu yang mempunyai nilai dan memberi nilai[16]. Maksudnya, tidak semua ilmu sah. Ilmu boleh jadi benar atau salah[17], boleh jadi Islam atau kufur, boleh jadi timur atau barat. Maka, orang yang berilmu dengan ilmu-ilmu tertentu, memanifestasikan nilai ilmu itu.Berkaitan dengan hal ini juga, ilmu yang benar itu adalah suci[18]. Sebab, ilmu yang benar itu merupakan manifestasi keesaan, keagungan dan keilahian Allah[19]. Kesannya, ilmu tidak terbuka kepada sesiapa sahaja tanpa mengira niat dan keupayaan[20]. Hal ini merujuk kepada hierarki ilmu.
Hierarki Ilmu
Perbincangan tentang hierarki ilmu mendapat perhatian utama beberapa tokoh intelektual Islam kontemporari. Antaranya ialah Syed Muhammad Naquib Al-Attas[21] dan Seyyed Hossein Nasr[22]. Hal ini disebabkan, hierarki ilmu sering diabaikan pada zaman moden ini.Mendahului perbincangan ini, perlu dinyatakan dua persoalan, sebagai pembuka minda.Pertama: Allah berilmu. Manusia juga berilmu. Persoalannya, adakah ilmu Allah dan ilmu manusia sama? Kedua: Ilmu amat penting untuk mencapai apa-apa sahaja. Persoalannya, dalam mencapai apa-apa perkara tertentu, adakah semua ilmu mempunyai kedudukan yang sama?Allah mempunyai ilmu atas segala-galanya[23]. Manakala, manusia pula amatlah jahil[24]. Bilangan bulu mata sendiripun, tidak ada seorangpun yang tahu. Walaupun Allah dan manusia sama-sama berilmu, tetapi ilmu itu tidaklah sama[25]. Dengan itu, jelas bahawa ada hierarki atau darjat tertentu bagi ilmu.Kini, Malaysia ingin menjadi negara maju berteraskan sains dan teknologi. Oleh itu, ilmu sains dan teknologi amat diangkat kedudukannya[26]. Pakar bidang tersebut amat diperlukan. Dengan itu jelas bahawa ilmu dan ilmuan tertentu mempunyai hierarki tertentu dalam perkara tertentu.Daripada dua persoalan di atas, pemikiran yang benar akan mengakui bahawa ilmu mempunyai hierarkinya. Maksudnya, ada darjat-darjat bagi ilmu dan setiap satunya mempunyai kedudukan yang tersendiri. Kesannya, ilmuan bidang ilmu tertentu akan dinilai setaraf kedudukan ilmu itu.Sebab itulah, ilmu itu tidak terbuka kepada sesiapa sahaja. Setiap individu yang ingin menguasai ilmu tertentu, perlu mempunyai persediaan niat dan keupayaan yang sesuai dengan ilmu yang ingin dituntutnya.
Penutup
Perbincangan di atas, memberi kesedaran bahawa ada ilmu yang benar, dan ada ilmu yang salah. Ilmuan ilmu-ilmu tertentu, memanifestasikan nilai ilmu-ilmu berkenaan. Hierarki ilmu pula, meletakkan ilmu dan ilmuan pada kedudukan tertentu.Maka, hierarki ilmu membolehkan sesuatu ilmu itu dinilai, iaitu melalui ilmuan bidang ilmu itu. Dengan itu, jika ilmuan sesuatu ilmu baik, maka baiklah ilmu itu. Jika ilmuan sesuatu ilmu itu menganggap tidak salah untuk dia atau mereka melakukan keburukan, maka buruklah ilmu yang dia atau mereka wakili itu. Contohnya ilmu sihir untuk menganiaya orang lain.Memang tidak boleh dinafikan sekularisme dan dualisme sistem pendidikan. Akan tetapi, nilai buruk dan kebiadaban yang ditonjolkan oleh pelajar-pelajar, bukanlah disebabkan kesalahan ilmu yang dipelajari. Sebaliknya, apa yang berlaku ialah kekeliruan dan salah faham terhadap ilmu.
Rujukan/tulisan :
Oleh:Wan Adli bin Wan Ramli
http://bintulyamin.blogspot.com/2007/08/konsep-ilmu-dalam-islam.html
Saturday, July 19, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment